Disiplin di bahagian pertahanan menjadi resipi kejayaan Kedah yang berjaya mara ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut selepas menyingkirkan PDRM melalui keputusan agregat 2-1.

Biarpun sentuhan penyudah kurang menjadi, jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, memuji kecemerlangan yang ditampilkan oleh barisan pertahanannya.

Ditambah mereka turun tanpa ketua pasukan, Khairul Helmi Johari, pertahanan Kedah kebal sepanjang 90 minit untuk mengikat PDRM 0-0 dalam separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Pada separuh akhir pertama di Alor Setar hujung bulan lalu, Kedah menewaskan skuad itu 2-1.

Kini, mereka semakin tidak sabar bertemu Selangor sekali lagi dalam perlawanan akhir.

"Memang selama ini ramai pihak yang mengatakan pertahanan kami agak lemah tetapi dalam perlawanan ini terbukti pemain mempamerkan disiplin yang tinggi.

"Saya berharap mereka meneruskan tahap ini dalam final nanti," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, PDRM tetap berbangga melalui pencapaian layak ke separuh akhir walaupun tidak menafikan sedikit terkilan kerana hanya tinggal selangkah lagi ke pentas akhir.

Menurut jurulatihnya, Fauzi Pilus, pemainnya sudah melakukan yang termampu tetapi Kedah nyata membuktikan mereka lawan yang lebih berpengalaman.

"Sebenarnya, mara ke peringkat separuh akhir sudah dikira bonus buat kami, cuma kami cuba juga untuk mencipta sejarah mara ke final.

"Tetapi perjuangan kami sampai di sini sahaja," katanya.

Kedah akan menentang Selangor dalam final yang dijangka diadakan sama ada 28 atau 30 Oktober ini di Stadium Shah Alam, selepas tarikh asal 29 Oktober bertembung dengan sambutan Deepavali.