Pengendali Sabah, Jelius Ating, mengakui antara faktor mereka gagal menyekat kemenangan Pahang dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Likas, malam tadi, ialah anak didiknya terlalu menghormati lawan.

"Secara peribadi, memang saya tidak berpuas hati dengan prestasi mereka dalam separuh masa pertama, mereka terlalu menghormati pasukan lawan.

"Mungkin kerana pemain melihat Pahang sebagai naib juara Liga Super dan menewaskan Perak dengan jaringan yang banyak sebelum ini, seterusnya berasakan Pahang terlalu kuat bagi mereka," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Dalam aksi berkenaan, skuad kendalian Dollah Salleh mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menundukkan Sabah 2-1, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan C.

Dua gol Tok Gajah dihasilkan dalam separuh masa pertama menerusi Dickson Nwakaeme pada minit pertama serta Lazarus Kaimbi pada minit ke-34 manakala gol tunggal Tambadau dijaringkan Aguinaldo Mendes Veiga pada minit ke-53.

Sementara itu, Jelius tetap memberi pujian kepada anak didiknya kerana semangat serta corak permainan yang dipamerkan dalam babak kedua perlawanan.

"Sebelum babak kedua bermula, saya memberi dorongan dan motivasi kepada mereka supaya tidak terlalu menghormati lawan dan akhirnya corak permainan mereka berubah.

"Kami bukan saja memberi kesukaran kepada Pahang, malah memperoleh satu gol dan hampir-hampir menyamakan kedudukan.

"Bagaimanapun, saya akui pemain kami yang rata-ratanya pemain muda mungkin agak kurang daripada segi pengalaman walaupun mereka mampu memberi saingan sengit kepada lawan," katanya.