Kelegaan dan kepuasan jelas terpancar di wajah jurulatih sementara Selangor, K. Gunalan, selepas menyaksikan aksi garang anak buahnya yang menewaskan T-Team 3-0 (agregat 5-1) dalam separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Beliau menganggap dua jaringan awal Selangor sebagai suntikan semangat skuad Red Giants terus konsisten untuk mara ke final Piala Malaysia 2016.

Gunalan berkata, Selangor berjaya melangkaui perancangan asal, iaitu menafikan sebarang jaringan T-Team dengan menggantikan dua jaringan awal yang cukup bermakna dalam membina motivasi Red Giants.

"Gol pada awal permainan memberi suntikan semangat kepada pemain. Kemampuan pemain saya meledak dua gol dalam tempoh 10 minit juga satu tanda positif.

"Pemain juga mengikut perancangan saya untuk tidak membenarkan gawang kami bolos," jelasnya.

Pada aksi itu, Selangor menjaringkan gol seawal minit ketiga menerusi R. Gopinathan yang menyudahkan hantaran pemain import dari Indonesia, Andik Vermansyah.

Skuad Gunalan kemudian menggandakan jaringan menerusi pemain pertahanan import dari Nigeria, Ugochukwu Ukah, pada minit ke-19 yang mengambil peluang daripada kelekaan barisan pertahanan T-Team.

Selangor, pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia dengan 33 kejuaraan, kemudian menambah derita skuad The Titans yang beraksi di hadapan lebih 10,000 penonton apabila Andik menambah jaringan pada akhir babak kedua.

Sementara itu, jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, menegaskan sikap pemainnya yang terlalu berhati-hati menjadi punca utama pasukannya gagal menyerlah.

"Pemain terlalu berhati-hati sehingga kami bolos pada awal permainan yang menyebabkan moral pemain merudum. Kami cuba bangkit selepas itu, namun sekali lagi kami bolos dengan gol kedua," katanya.

Selangor akan bertemu Kedah dalam final yang dijangka sama ada pada 28 atau 30 Oktober ini di Stadium Shah Alam, selepas tarikh asal 29 Oktober bertembung dengan sambutan Deepavali.