Pemain serba boleh Johor Darul Ta’zim (JDT), Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, mahu memahat sejarah tersendiri untuk merangkul Piala Malaysia bersama dua pasukan berbeza selepas berjaya memenangi trofi itu bersama Selangor, dua tahun lalu.

Azrif adalah antara pemain yang pernah merasai nikmat kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 2015 dan ketika itu, dia antara watak penting kejayaan Selangor mencapai “Misi 33” selepas mengatasi Kedah 2-0 dalam final.

Selepas dua tahun, peluang itu kembali kepadanya untuk menambah koleksi kejuaraan dan kali ini bersama skuad Harimau Selatan.

"Perlawanan final memang seronok kerana ramai penyokong yang memberikan sokongan, meningkatkan semangat untuk beraksi," katanya.

Azrif adalah antara pemain serba boleh JDT kerana mampu beraksi lebih daripada satu posisi sebagai pertahanan dan pemain sayap.

Justeru, peluangnya untuk membuat penampilan kedua dalam final Piala Malaysia tetap tinggi walaupun kerap bertindak sebagai pemain gantian.

"Kami sudah melakukan persiapan. Siapa sahaja yang diturunkan, kami akan berikan yang terbaik untuk pasukan," tambahnya.