Pembahagian 30,750 keping tiket final Piala Malaysia melibatkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) masih belum diputuskan jumlah penjualan bagi setiap penyokong dan hanya akan diputuskan esok selepas mesyuarat exco PBSNT.

Jumlah keseluruhan sebanyak 61,500 keping tiket dibahagikan sama rata di antara Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan PBSNT.

Ketika pihak PAFA sudah pun menetapkan hanya lima keping maksimum setiap seorang, Terengganu masih belum ada sebarang kata putus dan ia hanya akan diketahui selewat-lewatnya esok.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya dalam mengendalikan urusan ini. Kami akan mengumumkan pembahagian jualan tiket kepada penyokong esok," kata Setiausaha Kehormat PBSNT, Syahrizan Mohd Zin.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAFA, Aziz Yeop, memberikan berita gembira buat penyokong Perak di sekitar Lembah Klang untuk berhubung terus dengan persatuan itu bagi pembelian tiket.

Harga tiket untuk dewasa ialah RM50 manakala kanak-kanak RM5, termasuk insurans perjalanan.

"Untuk penyokong Perak di Selangor, mereka boleh berurusan dengan PAFA untuk membeli tiket final pada Sabtu ini," kata Aziz.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik, mengesahkan hanya Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia ketika ini.

Bagaimanapun, tempoh yang diberikan untuk setiap pasukan hanya akan berakhir 15 November depan.

Dalam masa sama, tiada perkembangan terkini melibatkan penarikan diri Felcra FC untuk saingan musim depan.

"Selangor menjadi pasukan pertama mengesahkan penyertaan bersaing dalam Liga Malaysia. Felcra masih lagi memiliki masa untuk mendapatkan penajaan jika mahu menyertai saingan musim depan," kata Shazli.