Partiban gembira temu Perak dalam final

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2018 2934
Partiban gembira temu Perak dalam final
Pemain sayap Terengganu FC (TFC), J. Partiban, menyifatkan pertembungan pasukannya dengan Perak bagi perebutan gelaran Piala Malaysia 2018 adalah final yang diimpikan.

Partiban adalah antara pemain yang bakal mencuri tumpuan dalam aksi final di Stadium Shah Alam, malam esok.

Ia susulan pemain kelahiran Tambun, Perak itu akan berdepan dengan bekas pasukannya, The Bos Gaurus.

Bersedia mengetepikan sentimen kenegerian, Partiban bertekad membantu skuad Peteh mengakhiri kemarau kejuaraan.

"Saya masih tidak percaya TFC kini telah melangkah ke final. Aksi ini merupakan impian saya dengan berdepan pasukan kelahiran saya," kata Partiban.

"Kami akan cuba menampilkan prestasi yang sama seperti sebelum ini untuk perlawanan di Shah Alam dan mengharapkan kemenangan mampu diraih."

Partiban yang menyertai TFC musim lalu kini antara aset utama pengendali, Irfan Bakti Abu Salim.

Ini kerana kelincahan dan kerajinan pemain berusia 25 tahun itu mampu memberi kesukaran kepada lawan.

"Sukar untuk meluahkan perasaan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, Irfan Bakti, yang menyediakan strategi dan taktikal yang terbaik serta komitmen rakan sepasukan dalam setiap perlawanan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen