MELAKA 0 PAHANG 3

Pahang selangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menundukkan Melaka 3-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.


Tiga gol dalam tempoh enam minit menerusi Lazarus Kaimbi, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Dickson Nwakaeme memberikan skuad Tok Gajah itu kelebihan jaringan di laman lawan menjelang perlawanan kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan minggu depan.

Melaka kental bertahan untuk mengimbangi perlawanan sepanjang separuh masa pertama dengan sekali-sekala mengancam kubu Pahang menerusi gerakan-gerakan set piece yang direncanakan bekas kapten kebangsaan, Safiq Rahim.

Namun, bencana sebenar mula menimpa mereka dalam 45 minit berikutnya.

Bermula dengan sentuhan awal Zuhair Aizat Nazri, pertahanan kanan skuad kebangsaan, Matthew Davies, melakukan hantaran lintang yang terlalu mudah untuk ditanduk masuk Kaimbi pada minit ke-56.

Dua minit kemudian, gerakan solo Nwakaeme di bahagian kiri diakhiri dengan hantaran 'cutback' ke aras Wan Zaharulnizam sebelum pemain yang terkenal dengan gelaran 'Kecik' itu melakukan sungkitan yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat buat kali kedua.

Berselang dua minit lagi, kelalaian barisan pertahanan Melaka yang membenarkan Mohamadou Sumareh bergerak bebas dalam kawasan penalti mengundang padah yang lebih besar apabila pemain sayap itu melambungkan bola untuk disudahkan Nwakaeme dengan tandukan.

Keputusan lain:

PERAK 1 SELANGOR 0
PKNP FC 3 PJ CITY FC 0