Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) tetap akan menganjurkan sambutan kemenangan Piala Malaysia walaupun dipalit pelbagai kontroversi, terutama berkaitan presidennya.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PAFA, Abdul Aziz Yeop Jamaludin, kepada media sebentar tadi.

Bagaimanapun, bentuk sambutan, iaitu sama ada piala berprestij itu akan diarak ke daerah-daerah atau di satu tempat, hanya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang dijangka bermesyuarat minggu depan.

Abdul Aziz Yeop berkata pihaknya juga perlu melihat kesesuaian masa Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, mereka juga mungkin merancang untuk mempersembahkan piala tersebut kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Tarikh, masa dan tempat akan diputuskan dalam mesyuarat Exco (PAFA) nanti,” katanya lagi.

Abdul Aziz memberitahu walaupun pemain-pemain Perak sedang bercuti, mereka telah memberikan komitmen untuk bersama-sama hadir dalam sambutan yang akan diadakan nanti.

Abdul Aziz turut mengesahkan bahawa trofi yang menjadi lambang keagungan bola sepak negara itu kini selamat dalam simpanan Pejabat PAFA sejak Khamis lalu.

Beliau menjelaskan pihaknya memang bercadang untuk membawa balik piala itu ke Ipoh selepas perlawanan akhir, bulan lalu.

Bagaimanapun, Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, dan pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, telah dijemput ke program sukan sebuah stesen televisyen dan telah membawa piala tersebut.

Abdul Aziz turut memaklumkan bahawa PAFA telah menyerahkan sebahagian insentif kemenangan Piala Malaysia kepada 18 pemain Rabu lalu dan bakinya akan diputuskan oleh presiden.

“Biarlah presiden atau menteri besar sendiri yang membuat pengumuman mengenai jumlah insentif itu,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz enggan mengulas mengenai desakan kuat peminat supaya presiden PAFA itu meletak jawatan ekoran kontroversi mengenai piala berprestij itu.