Masih segar dengan jaringannya ketika membantu Pahang mencatatkan keputusan seri di Stadium Darul Aman, pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih, sekali lagi mahu meledakkan gol buat pasukannya ketika bertemu Kedah, Sabtu ini.

Katanya, ia tidak mustahil dilakukan dengan bantuan rakan sepasukan dan bantuan penyokong skuad Tok Gajah di Stadium Darul Makmur, Kuantan dalam aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia.

"Dengan kerjasama rakan sepasukan yang amat baik di atas padang, saya percaya ia tidak mustahil untuk dihasilkan.

"Ketika di Kedah, padangnya basah dan licin. Saya berharap di Darul Makmur nanti keadaannya lebih baik bagi memastikan permainan lebih lancar," katanya kepada pemberita selepas majlis temu mesra bersama pemain Pahang di kedai menjual peralatan sukan Al-Ikhsan di Kuantan, malam tadi.

Nor Azam menjaringkan gol ketiga Pahang pada minit ke-73 selepas kedudukan terikat 2-2 dalam separuh masa pertama separuh akhir, Sabtu lalu sebelum Zaquan Adha Abdul Radzak menjaringkan gol penyamaan di penghujung babak kedua untuk pasukan Lang Merah.

Pemain berusia 24 tahun itu turut mengakui Pahang perlu berwaspada dengan gerakan terancang dan serangan balas yang dilakukan Kedah kerana ia mampu menghasilkan jaringan.

"Penyerang mereka perlu diawasi kerana sedikit kecuaian boleh menyebabkan pintu gol Pahang bolos," katanya.

Terdahulu, dalam majlis itu, empat pemain utama Pahang, iaitu Nor Azam, kapten, Matthew Davies, Muhammad Safuwan Baharuddin dan Muslim Ahmad meluangkan masa beramah mesra dan bergambar dengan penyokong setia mereka.

-- BERNAMA