Legenda bola sepak Johor, Nasir Yusof, mahu anak buah Ulisses Morais menjadikan memori manis 1991 sebagai inspirasi untuk memacu skuad Harimau Selatan itu menjuarai Piala Malaysia, musim ini.

Perebutan gelaran Piala Malaysia 2017 tampak lebih sengit yang dibayangi pencapaian cemerlang yang diraih kedua-dua pasukan yang jelas mempunyai peluang seimbang untuk muncul juara.

Namun, terbit keyakinan dalam diri bekas pemain tengah Johor itu untuk Johor Darul Ta'zim (JDT) mengatasi Kedah dalam final di Stadium Shah Alam, malam esok.

"Saya nampak kesinambungan dan peralihan pasukan menguatkan keyakinan bahawa JDT boleh mencipta sejarah selepas 26 tahun," ujarnya.

Nasir bukan nama asing dalam kalangan peminat bola sepak Johor kerana pernah menjulang trofi Piala Malaysia pada 1985.

Namun, mereka dibelasah Selangor 6-1 dalam final di Stadium Merdeka ketika cuba mempertahankan kejuaraan berprestij itu pada tahun berikutnya sebelum menjulangnya sebagai kapten pada 1991.

Sememangnya kemaraan JDT ke perlawanan akhir musim ini menggamit memori lalu buat pemain yang diberi jolokan 'Profesor' itu.

"Pada 1991, saya melontarkan cabaran (kepada rakan sepasukan) dengan berkata kepada media, 'ini adalah misi balas dendam. Lalu kami mengalahkan Selangor 3-1 apabila (disokong) dari segi pengurusan, pasukan dan pemain'."