Enam gol dan dua kad merah, aksi final Piala Malaysia 2018 menyaksikan persembahan yang sangat menghiburkan daripada kedua-dua pasukan.

Namun, sayangnya kerancakan dan kemeriahan perlawanan itu dicemari dengan mutu pengadilan yang lemah.

Beberapa situasi dilihat mencetuskan persoalan terhadap mutu dan kualiti pengadilan daripada pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman.

Dia tampak gagal mengawal perlawanan dengan baik apabila banyak keputusannya mencetuskan kemarahan pemain, jurulatih dan juga penyokong kedua-dua pasukan.

Ia turut mendapat perhatian Pengerusi Malaysia Football League (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang membidas mutu pengadilan lemah dalam perlawanan di Stadium Shah Alam itu.

"Saya rasa jika dilihat menerusi semua media sosial, malah Tunku Ismail juga turut berfikir bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini," kata salah seorang penyokong Perak.

"Mutu pengadilan di Malaysia memang agak menurun. Kalau boleh, cari pengadil yang lebih berkualiti dan bagus."