Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan laluan ke suku akhir Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan Terengganu 5-0 dalam aksi Kumpulan D yang berlangsung di Larkin, malam tadi.

JDT merehatkan beberapa tonggak utama, termasuk perancang tengah, Safiq Rahim serta Natxo Insa, yang berada di bangku pemain simpanan.

Namun, ia tidak menghalang skuad Harimau Selatan itu untuk meraih gol pertama seawal minit ke-18 menerusi sepakan penalti Safawi Rasid selepas Azzamuddin Akil dikasari pertahanan lawan dalam kawasan penalti.

Belum sempat Terengganu bangkit, JDT menambah gol kedua pada minit ke-37 menerusi pertahanan, Fadhli Shas, yang menanduk masuk sepakan penjuru Safawi.

S. Kunanlan menjaringkan gol ketiga pada minit akhir babak pertama sebelum Ahmad Hazwan Bakri menambah gol keempat pada babak kedua.

Darren Lok menyempurnakan pesta gol Harimau Selatan dengan gol kelima ketika permainan berbaki 10 minit untuk memberi kelegaan buat pengendali, Ulisses Morais, selepas menempah tiket ke suku akhir.

“Apa yang penting adalah kemaraan ke suku akhir, malam ini pemain yang diberikan kepercayaan melaksanakan tugas dengan baik dan kami tidak memberikan ruang kepada lawan,” katanya.

Bagi pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, dia mengakui anak-anak buahnya tidak mampu menyaingi skuad JDT yang jelas beraksi dengan lebih berdisiplin.

"Kami tewas di tangan pasukan nombor satu di Malaysia.

"Selepas tewas menentang Selangor tempoh hari, saya terpaksa menurunkan pemain-pemain simpanan, namun jelas skuad JDT beraksi lebih baik," kata Irfan.