Morais: JDT lebih bagus dalam babak kedua

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2017 653
Morais: JDT lebih bagus dalam babak kedua
Pengendali Johor Darul Ta’azim (JDT), Ulisses Morais, memuji aksi anak buahnya dalam babak kedua walaupun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Ipoh, malam tadi.

Kesilapan ketua pasukan, Muhammad Shahrom Kalam, menyebabkan hajat Perak untuk meraih kemenangan di laman sendiri terpaksa dilupakan selepas membenarkan penyerang import pelawat, Mohammed Ghaddar, menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-68.

Tuan rumah yang turun tanpa dua pemain import, Leandro Dos Santos dan Yashir Pinto, serta dua tonggak utama, Jasazrin Jamaluddin dan Nazrin Nawi, atas persetujuan kontrak sebelum ini, kini terpaksa berdepan misi sukar dalam aksi kedua di Larkin, Sabtu ini.

Kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya oleh JDT walaupun pada mulanya ketinggalan hasil jaringan sendiri Mohd Hasbullah Abu Bakar, sekaligus mengundang rasa gembira Morais melihat anak buahnya mampu menyekat hajat skuad The Bos Gaurus di tempat lawan.

"Kami berjaya mengimbangi dengan baik aksi yang ditunjukkan Perak biarpun lawan menguasai sebahagian besar aksi dalam babak pertama. 

“Kami pasukan yang lebih baik dalam babak kedua dan saya berpuas hati dapat menjaringkan satu gol di sini walaupun berasakan JDT ada peluang untuk menang," ujar Morais.

Bagi rakan sejawatan Morais di Perak, Mehmet Durakovic, dia berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan seluruh pasukan, namun tetap sedikit terkilan apabila tidak berjaya meraih kemenangan di laman sendiri.

“Saya rasa ia keputusan yang seimbang buat kedua-dua pasukan. Lawan melakukan kesilapan dan begitu juga kami. Ini lumrah dalam bola sepak.

“Tetapi lebih baik jika kami berjaya mencatat kemenangan di depan penyokong sendiri. Apapun, saya gembira dengan komitmen yang ditunjukkan pemain-pemain,” ujar Durakovic.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen