Faktor tuah menyebelahi Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kedua tatkala pengendali, Benjamin Mora, mengakui skuad 'tempang' Kedah turut membantu dalam kemenangan 3-0 di pentas final di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Keupayaan JDT untuk memenangi perlawanan semalam sudah dicanang awal susulan Kedah tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama mereka.

Bukan sahaja dua tonggak pertahanan, Renan Alves dan Rizal Ghazali, yang digantung perlawanan, penggempur berbisa, Fernando Rodriguez, juga terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Situasi itu menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan sebelum skuad Harimau Selatan itu mudah membenam cabaran lawan dalam final yang ketara berat sebelah.

"Saya fikir tidak memiliki skuad lengkap dan mungkin ia membantu JDT untuk mengawal permainan. Namun, saya juga fikir JDT tidak membiarkan Kedah melakukan sebarang perkara," kata Mora.

Kejayaan JDT meraih gelaran ketiga musim ini turut diselubungi gol kontroversi Safawi Rasid dan Mora ketika mengulas mengenai insiden itu berkata: "Saya tidak tahu. Apabila dia meraikan dan menunggu, pengadil menunjukkan isyarat gol, saya rasa ia sah."

Kredit foto: Johor Southern Tigers