'Piala Malaysia' itu tumpuan utama pasukan Selangor apabila menolak desas-desus mengenai penyerang sensasi Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi yang ingin menyertai pasukan tersebut.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon, berkongsi mengenai perancangan mereka bagaimana The Red Giants akan mempersiapkan diri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

"Setakat ini, kami telah mendapat garis panduan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjalani latihan 10 pemain tanpa sentuhan untuk beberapa hari ini," katanya.

Setakat ini, hanya Selangor antara pasukan Lembah Klang yang tampil menerangkan bahawa mereka tetap akan berada di Padang SUK untuk meneruskan latihan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Bagaimanapun, bagi pasukan Kuala Lumpur memilih pendekatan berbeza, untuk berlatih di Nilai manakala UiTM memilih untuk menjalani latihan di Seremban.

Selain itu, Selangor juga menolak sebarang spekulasi mengenai penyertaan penyerang Perak, Shahrel Fikri untuk menyertai pasukan tersebut selagi Piala Malaysia masih belum berakhir.

"Terdapat ramai pemain yang berkualiti di luar dan kami buat masa ini memberikan tumpuan kepada saingan Piala Malaysia terlebih dahulu," katanya lagi.