Penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid, bertekad mempamerkan aksi lebih baik di Stadium Shah Alam sambil menuntut kerjasama pemain di bahagian pertahanan agar mengurangkan kesilapan yang mampu memberi jaringan buat Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang pertemuan kedua separuh akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Dua gol bolos di Larkin memberi pengajaran cukup berguna buat bekas penjaga gol Pahang itu dan dia tidak mahu hal yang sama berulang, malah menuntut perisai utama Selangor bersedia dengan ancaman dan kemungkinan yang akan dilancarkan anak buah Benjamin Mora di Stadium Shah Alam nanti.

"Kena ubah cara kawalan pemain. Itu penting. Komunikasi juga perlu dijaga. Bagi saya, perlu bermain di Shah Alam dulu. Peluang cerah memang belum pasti tetapi pemain perlu pamerkan komitmen lebih tinggi untuk tewaskan JDT," katanya.

Azhan juga menegaskan perangkaan ketua jurulatih skuad Gergasi Merah itu, B. Sathianathan, lebih terperinci merujuk kepada kesilapan yang berlaku dalm aksi pertama tempoh hari.

Membawa pulang satu gol dari Larkin umpama bekalan yang cukup bermakna dan kini, tempoh 90 minit di Shah Alam menjadi penentu buat Selangor bagi memastikan slot final milik mereka.

"Penyerang JDT, Syafiq Ahmad, memainkan peranan penting dalam aksi pertama. Kalau dia diberi peluang sekali lagi, kami akan ikut taktikal jurulatih," tambah Khairul Azhan.

Kredit foto: Johor Southern Tigers