Misi bawa trofi Piala Malaysia ke bumi Kedah terlaksana

Oleh Staff Writer 30 Oktober 2016 8
Misi bawa trofi Piala Malaysia ke bumi Kedah terlaksana

KEDAH 1 SELANGOR 1
(Kedah menang sepakan penalti 6-5)

Misi membawa Piala Malaysia ke bumi Kedah terlaksana apabila skuad Lang Merah melakar kemenangan ke atas penyandang juara, Selangor, 6-5 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi final di Stadium Shah Alam, malam ini.

Selangor terlebih dahulu mendapat peluang menerusi Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-25, namun percubaan jarak dekat di sebelah kanan gawang gagal disempurnakannya.

Selang 15 minit kemudian, penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid, bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan jarak dekat penyerang New Zealand, Shane Smetlz.

Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sehingga babak pertama berakhir.

Pemain kebangsaan Indonesia, Andik Vermansyah, hampir membuka tirai jaringan pada babak kedua, namun percubaannya sempat diselamatkan pertahanan Kedah.

Skuad kendalian K. Gunalan sekali lagi mendapat peluang keemasan pada minit ke-52 tetapi percubaan kaki kanan Hazwan Bakri gagal menemui gawang.

Kegagalan Selangor memanfaatkan peluang membuka ruang buat Kedah memecah kebuntuan menerusi rembatan pemain pertahanan, Rizal Ghazali, yang terbias daripada S. Veenod pada minit ke-52.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Hazwan akhirnya melakukan penyudah kemas terhadap lorongan Wleh lapan minit kemudian untuk kembali menyamakan kedudukan.

Pergerakan kedua-dua pasukan mula terganggu ekoran hujan lebat.

Kedah dianugerahkan sepakan percuma memasuki masa kecederaan, namun percubaan Liridon Krasniqi sekadar menyinggahi tiang kanan gawang.

Keputusan seri 1-1 memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan, namun tiada sebarang jaringan dihasilkan, sekaligus membawa ke penentuan sepakan penalti.

Kedah berpeluang menoktahkan kemenangan menerusi pemain muda, Amirul Hisyam Awang Kechik tatkala sepakan Hafiz Kamal melayang tinggi, namun pemain berusia 21 tahun itu menyaksikan sepakannya diselamatkan Khairul Azhan.

Rizal Ghazali sekali lagi muncul wira buat Kedah apabila berjaya menyempurnakan sepakan penaltinya -- selepas kegagalan Rizal Fahmi buat Selangor -- sekaligus memastikan piala bersejarah itu berhijrah ke Kedah.

Kemenangan itu turut mengubat kedukaan ribuan penyokong Kedah yang hadir ke Shah Alam malam ini selepas dikecewakan musim lalu apabila tewas 2-0 kepada lawan sama.


Tentang Penulis

Staff Writer

Komen