Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat keputusan meminda tarikh saingan Piala Malaysia berikutan situasi semasa penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara dengan undian saingan tersebut bakal diadakan I November ini, sepak mula saingan terpaksa ditunda kepada tarikh baru iaitu 6, 7 dan 8 November 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato' Ab Ghani Hassan, berkata keputusan untuk meminda tarikh saingan Piala Malaysia terpaksa dilakukan selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula jam 12.01 tengah malam ini hingga 27 Oktober.

Jelasnya lagi, perancangan jadual baharu Piala Malaysia mengambil kira perkara-perkara berkaitan termasuk tarikh Liga Juara-Juara (ACL) yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bermula 19 November 2020 sehingga 4 Disember 2020.

Tarikh sepak mula kejohanan tertua di Asia Tenggara itu berlangsung pada 6, 7 dan 8 November 2020 bermula dengan pusingan pertama 16 pasukan disusuli.

Sebagai rekod, pasukan yang layak beraksi dalam Piala Malaysia 2020 iaitu Selangor, PJ City FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur berada dalam kawasan yang telah diisytihar zon merah dan menjalani PKPB di Lembah Klang sementara Sabah dan Kuching FA turut menjalani PKPB serta Prosedur Operasi Standard (SOP) di negeri masing-masing.

Sementara itu, Ghani turut mengesahkan bahawa MFL meminda tarikh perlawanan Liga Super di antara Sabah dengan UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam dan aksi Liga Perdana di antara Kuala Lumpur menentang Kuching FA pada 31 Oktober 2020.

"Pindaan tarikh ini selari dengan saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menetapkan tiada sebarang aktiviti sukan berlangsung dalam situasi COVID-19 khususnya di kawasan atau negeri menjalani PKPB.

"Buat masa ini Piala Malaysia masih berada dalam perancangan untuk diteruskan. Lagipun, kita masih mempunyai masa yang cukup untuk meneruskannya memandangkan format baharu tiada saingan peringkat kumpulan.

"Apa yang pasti, MFL akan sentiasa memantau perkembangan terkini mengenai situasi COVID-19 dengan berhubung dengan KBS dan KKM dari semasa ke semasa," kata Ghani.