Badan pentadbir Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih belum mengalah dan tetap mahu kejohanan Piala Malaysia yang kini memasuki peringkat suku akhir, diteruskan.

MFL hari ini memutuskan untuk menghantar rayuan kedua kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), sehari setelah permintaan awal mereka ditolak.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan, dalam satu kenyataan, memdedahkan bahawa rayuan kedua sudah pun dikemukakan kepada MKN.

Sebelum ini, Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, mempunyai beberapa perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Dato' Sri Reezal Naina Merican bagi mencari jalan penyelesaian meneruskan Piala Malaysia selepas kerajaan umum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan sehingga 6 Disember ini.

Sebarang penangguhan kejohanan bakal membawa implikasi buruk buat lapan pasukan yang telah pun lolos ke peringkat suku akhir, dengan kebanyakkan pemain pasukan terbabit bakal tamat kontrak 30 November ini.

"Kami membuat rayuan bahawa setiap saingan yang dianjurkan memiliki pihak penaja dan penangguhan ini menyukarkan pihak MFL dan saingan perlu dijalankan," kata Ghani.

"Rata-rata pemain yang bersaing memiliki kontrak sehingga penghujung November ini."

"Kontrak mereka akan berakhir hujung bulan ini dan keadaan sekadar akan menyukarkan pasukan Selangor. Kami perlu mengetahui masa depan saingan ini," kata Pengarah teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner.