Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas The Bos Gaurus kecundang 1-3 kepada Pahang dalam pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, semalam.

Perak berkunjung ke Kuantan dengan reputasi sebagai pasukan tunggal yang belum tewas dalam kempen Piala Malaysia musim ini, namun kecemerlangan itu gagal diteruskan selepas gawang pasukannya dibolosi sebanyak tiga kali dalam tempoh lima minit pada separuh masa pertama.

Bagi Durakovic, tiga kesilapan mudah itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia menyukarkan peluang mereka untuk bangkit pada separuh masa kedua.

“Saya gembira dengan persembahan yang ditunjukkan pemain, cuma kelekaan dalam masa lima minit telah membuatkan kami bolos tiga gol dan ia memberikan masalah kepada kami,” katanya.

Sementara itu, pemangku jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi, melihat ada peningkatan dalam persembahan pasukannya jika dibandingkan dengan aksi sebelum ini.

Dia juga menyedari perjuangan Pahang masih belum selesai dan mengingatkan pemain supaya tidak leka bagi aksi timbal balik di Ipoh nanti.

Pahang dijangka akan membuat rombakan bagi saingan Liga Super berdepan Sarawak, Rabu ini dalam usaha untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik bagi pertemuan kedua suku akhir Piala Malaysia dengan Perak, Sabtu ini.

“Kami memiliki sedikit kelebihan untuk ke Ipoh tetapi dalam masa yang sama, kami akan berusaha untuk mengekang Perak daripada bangkit,” ujar Shaharuddin.