Tonggak tengah Selangor, Khyril Muhymeen Zambri, bertekad untuk mengulangi "sentuhan magisnya" di Stadium Shah Alam menjelang perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia malam esok.

Pemain yang lebih mesra dengan panggilan Meen itu menjadi tunjang kejayaan Selangor menyingkirkan Perak di peringkat suku akhir.

Bekas pemain sayap kebangsaan itu meledakkan dua gol di laman sendiri bagi membantu skuad The Red Giants itu ke separuh akhir dengan kelebihan agregat 3-2.

Meen, yang pernah dua kali menjuarai Piala Malaysia bersama Kedah, berharap prestasi cemerlangnya dapat diteruskan dalam pertemuan getir itu malam esok.

"Harap-harap ia berlaku lagi sebab kalau kita imbas kembali, dalam perlawanan pertama dengan Perak, kami terlalu menghormati pihak lawan.

"Dan apabila di Stadium Shah Alam, kami lebih agresif dan lebih kuat daripada aspek mental," katanya.

Meen masih dalam pemantauan pasukan perubatan menjelang perlawanan itu meskipun kudratnya ditagih bagi misi merobek gawang lawan.

Dalam separuh akhir pertama minggu lalu, JDT menang 2-1 menerusi sentuhan Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez sementara gol tunggal Selangor disumbangkan oleh Ifedayo Olusegun.

Sementara itu, penjualan tiket di Stadium Shah Alam hari ini berjalan lancar sebaik kaunter mula dibuka pada jam 3.30 petang.

Tinjauan Nadi Arena mendapati penyokong yang sudah tiba di perkarangan stadium lebih awal, beratur dalam keadaan tenang tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Keadaan itu dibantu pendekatan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang meletakkan sistem pembelian tiket atas talian sebagai keutamaan berbanding penjualan secara fizikal.

"Sejak awal musim, FAS menekankan penjualan di atas talian," kata Naib Presiden FAS, Izhar Moslim.

"Alhamdulillah, ia mendapat maklum balas yang memberangsangkan.

"Kami juga menyediakan pelbagai mesin untuk memudahkan dan melancarkan pembelian tiket dan kemasukan penyokong ke stadium," katanya.