Menteri Besar (MB) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, enggan memberi sebarang komitmen terhadap cadangan supaya beliau menjadi presiden baru Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

“Mengenai cadangan beberapa kelab penyokong untuk saya memegang jawatan presiden PAFA, bagi saya buat masa ini, (biarlah) kita lebih memikirkan tentang bagaimana nak raikan kejayaan memenangi Piala Malaysia bersama rakyat dan penyokong.

“Saya fikir terlalu awal bagi saya untuk beri pandangan tentang siapa yang akan ambil alih kerusi presiden PAFA.

"Saya juga yakin barisan exco dan barisan jawatankuasa (PAFA) yang ada tentunya mampu menggalas tanggungjawab persatuan buat masa ini,” katanya ketika menghadiri Minggu Fesyen Antarabangsa Ipoh (IIFW), malam tadi.

Dalam perkembangan terbaru, enam kelab penyokong Perak semalam mencadangkan agar Menteri Besar menerajui PAFA sebagai presiden baru selepas penyandangnya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, meletak jawatan, Khamis lalu.

“Keputusan beliau (Hasnul) untuk meletakkan jawatan adalah satu keputusan yang saya kesali kerana beliau sudah menjalankan tanggungjawab dengan begitu baik.

“Namun, mungkin kerana menghormati pandangan orang ramai dan kesal dengan kesilapan kecil yang dilakukan, beliau membuat keputusan yang besar bagi menjanjikan pasukan Perak lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Justeru, Ahmad Faizal menyerahkan sepenuhnya pengendalian PAFA kepada pengurusan sedia ada.

Beliau percaya PAFA sebagai sebuah persatuan mempunyai peruntukan perlembagaan untuk meneruskan operasi persatuan itu walaupun selepas ketiadaan Hasnul.

Ahmad Faizal berkata Kerajaan Negeri mengucapkan penghargaan tertinggi kepada Hasnul atas segala jasa baktinya membawa Perak hingga berjaya memenangi Piala Malaysia 2018.