Pemain import Kedah, Liridon Krasniqi, bukan sahaja gembira kerana mampu membawa pasukannya mara ke pentas akhir Piala Malaysia, malah teruja kerana bakal membuat perhitungan dengan Selangor sekali lagi.

Bukan sahaja mahu menamatkan kemarau lapan tahun kejuaraan Piala Malaysia untuk Kedah, namun Liridon menyifatkan perlawanan final ini sebagai peluang terbaik untuk memadam memori kekalahan perlawanan akhir 2015.

Bakal berdepan Selangor sekali lagi, Liridon berasakan skuad kali ini sudah mempelajari sesuatu pada musim lalu selepas tersungkur 0-2 di tangan Selangor.

“Saya amat gembira dapat bertemu semula dengan Selangor, kali ini kami akan cuba untuk membuktikan tahun ini miliki kami,” kata Liridon.

Dalam masa yang sama, Liridon mengucapkan terima kasih kepada penyokong setia Hijau Kuning yang menjadi pencetus semangat kepada pasukan Kedah.

Dia berjanji akan membawa pulang trofi keagungan bola sepak negara, Piala Malaysia, ke bumi Kedah pada 30 Oktober ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penyokong Kedah yang hadir memberikan sokongan padu kepada kami, kami berharap untuk memberikan yang terbaik dalam final nanti,” kata Liridon.