Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, mengingatkan barisan anak buahnya agar lebih berwaspada menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Sehubungan itu, bekas tonggak kebangsaan itu menuntut pemain-pemain Lang Merah untuk menggunakan kesempatan pada minggu ini untuk memperbaiki prestasi mereka, baik pemain utama mahupun simpanan.

"Saya mahu mereka fokus dalam setiap sesi latihan dan bersedia dari segi fizikal.

"Saya harap tiada kecederaan yang berlaku ke atas pemain-pemain utama. Sekiranya berlaku juga, kami masih mempunyai pengganti-pengganti yang berkaliber untuk memikul tanggungjawab," katanya ketika ditemui di Alor Setar, petang tadi.

Kedah juga mendapat perkhabaran gembira apabila semua pemain bersedia untuk diturunkan, termasuk dua tonggak import, Ken Ilso Larsen dan Liridon Krasniqi, yang terlepas aksi separuh akhir kedua tempoh hari akibat penggantungan.

"Apa yang saya lihat, kesemua pemain import dalam keadaan baik. Pemain senior dan muda juga bebas kecederaan," katanya.