Liridon Krasniqi ucapkan selamat tinggal?

Itu persoalan yang timbul apabila perancang tengah kreatif Kedah itu belum menentukan hala tujunya untuk musim depan meskipun cemerlang membantu skuad Lang Merah memenangi Piala Malaysia, Ahad lalu.

Krasniqi berjaya memberi impak besar buat Kedah sejak menyertai pasukan itu musim lalu.

Menjadi antara nadi utama kecemerlangan Lang Merah, pemain berusia 24 tahun dari Kosovo itu melengkapkan musim gemilangnya menerusi kejayaan meraih gelaran juara Piala Malaysia.

Namun, kemungkinan besar perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor di Shah Alam, menjadi penampilan terakhirnya bersama Kedah selepas dia enggan memberikan sebarang jaminan untuk kekal musim depan.

"Saya tidak pasti mengenai masa depan saya. Jika segala-galanya berjalan dengan baik di sini, saya akan kekal bersama Kedah.

"Tetapi, saya tidak dapat memberikan sebarang jaminan. Ketika ini, kami hanya mahu meraikan kejayaan kami," ujar Krasniqi.

Perkhabaran itu juga bertiup kencang apabila difahamkan Krasniqi kini dalam rundingan dengan beberapa pasukan gergasi tanah air.

Krasniqi dilabel antara pemain import terbaik dalam Liga Malaysia musim ini menerusi persembahan memukau di bahagian tengah.

Pada Ahad, dia turut menjadi watak penting selepas berjaya menyempurnakan salah satu sepakan penalti untuk membantu Kedah mengakhiri penantian lapan tahun bagi meraih kejuaraan kelima Piala Malaysia.