Kapten Terengganu FC (TFC), Tchetche Kipre, enggan dilabel sebagai wira walaupun dua jaringannya berjaya membantu skuad Peteh mengulangi kemaraan ke perlawanan akhir Piala Malaysia yang kali terakhir dikecapi pada 2011.

Kipre muncul pencetus utama kebangkitan skuad TFC dalam aksi separuh akhir kedua menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin, kelmarin.

Ia menerusi gol pertamanya pada minit ke-69 yang jelas memberi tekanan kepada JDT kerana faktor gol tempat lawan memihak TFC ketika itu.

Penyerang kelahiran Ivory Coast berusia 31 tahun itu kemudian menoktahkan misi JDT untuk mempertahankan kejuaraan menerusi gol kedua peribadi di lewat permainan.

"Saya bukan wira kerana setiap pemain dalam pasukan ini telah berusaha untuk memastikan TFC mara ke final. Kami telah bekerja keras dalam sesi latihan dan ia telah diterjemahkan dalam perlawanan ini," kata Kipre.

Sementara itu, kapten JDT, Harris Harun, mengakui mereka harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengekalkan kelebihan dua gol yang dimiliki, sekali gus terlepas peluang untuk mempertahankan kejuaraan.

"Kami hilang fokus dan gagal mengawal rentak permainan, sekali gus tewas kepada TFC," kata Harris.

Imej: Asiana