Pemain tengah Selangor, Khyril Muhymeen Zambri, tidak mahu The Red Giants gigit jari ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Larkin serta bertekad untuk membantu pasukannya sekurang-kurangnya meraih bekalan jaringan di laman lawan.

Umpama filem adiwira, kelibat Khyril disamakan dengan Superman dan anak jati Kedah itu semakin selesa dengan jolokan 'Supermeen' dalam kalangan barisan pemain Selangor.

Merujuk kepada saingan separuh akhir di Larkin, dia mengakui ia bukan tugasan mudah tetapi pemain berusia 32 tahun itu tidak mahu tenggelam selepas melakar kejutan dalam suku akhir baru-baru ini.

"Kami berharap dapat menampilkan permainan yang konsisten ketika berdepan JDT nanti. Piala Malaysia adalah pertandingan terakhir musim ini dan saya mahu setiap pemain memberikan komitmen terbaik," katanya.

Mengakui semakin selesa dengan sentuhannya bersama Selangor, Khyril mahu mencari bekalan jaringan di tempat lawan atau sekurang-kurangnya muncul sebagai pencetus jaringan Selangor di Larkin.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih yang membantu saya untuk kembali menyerlah di atas padang."

Tegasnya lagi, Selangor banyak membantunya dalam usaha untuk membuat kemunculan semula dan kini tiba saat untuknya membalas kepercayaan yang diberikan.