Kapten Kedah, Khairul Helmi Johari, mengakui dia perlu menggandakan usaha dalam sesi latihan untuk mendapatkan kecergasan terbaik sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Pertahanan berusia 28 tahun dari Sungai Petani ini tidak beraksi dalam tiga perlawanan kompetitif, termasuk perlawanan separuh akhir kedua bertemu PDRM pada 15 Oktober dan aksi Liga Super menentang Felda United, Jumaat lalu.

Dia turut disisihkan ketika skuad negara beraksi untuk perlawanan persahabatan menentang Afghanistan, 12 Oktober lalu.

"Dalam tempoh seminggu ini, saya akan menggandakan usaha untuk mendapatkan tahap prestasi sama seperti pemain-pemain lain.

"Dekat dua minggu saya berehat, jadi ia memerlukan masa untuk saya mendapatkan kembali momentum," katanya.

Ketiadaan Helmi yang mesra dipanggil Keon menyaksikan pemain muda, Syawal Nordin, bergandingan dengan Bang Sung Hwan di bahagian pertahanan.

"Dalam dua perlawanan yang lepas, menentang Felda United, mereka bermain cemerlang. Mana-mana pemain yang diturunkan oleh jurulatih dapat memberi aksi yang terbaik.

"Jadi, final ini sesiapa pemain Kedah yang diturunkan oleh jurulatih diharapkan sekali lagi dapat menggalas tugas masing-masing."

Kelibat Helmi sememangnya ditagih apabila dia seakan-akan sudah serasi dengan skuad senior Lang Merah sejak 2007.

Selain membantu Kedah naik ke Liga Super dengan menjuarai Liga Perdana pada 2015, pertahanan itu pernah membantu Kedah menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA pada 2007.

Kedah dan Selangor akan membuat perhitungan final Piala Malaysia buat kali kedua, selepas Lang Merah tumpas 2-0 tahun lalu.