Ketiadaan Elizari bukan faktor keputusan seri -- Lucho

Oleh Tengku Danish Bahri 21 Oktober 2018 5975
Ketiadaan Elizari bukan faktor keputusan seri -- Lucho
Pengurus pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa, menolak ketiadaan pemain tengah, Fernando Elizari, dalam kesebelasan utama sebagai punca keputusan seri 2-2 dengan Terengganu FC (TFC), malam tadi.

Fernando Marquez sebaliknya kembali dipertaruhkan selepas pulih daripada patah tulang hidung dan keputusan itu disifatkan Figueroa sebagai wajar bagi menambah bisa jentera serangan.

Menurut Figueroa, peranan Safawi Rasid serta Syafiq Ahmad di bahagian sayap menyaksikan Gonzalo Cabrera mengambil tempat Elizari dan menyifatkan JDT sebagai pasukan lebih baik selepas dua aksi timbal balik separuh akhir.

"Marquez dan Safawi diturunkan kerana mereka menjaringkan banyak gol musim ini manakala Syafiq memberikan segala-galanya selain Cabrera dengan kepantasan dan kebolehan mengawal bola.

"Kami mencipta banyak peluang. TFC ada hanya empat atau lima dan menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan. Tiada alasan untuk JDT tersingkir dan saya turut bersedih," jelasnya.

Sementara itu pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim, pula mengakui pada awalnya bimbang dengan rentak permainan serta kombinasi pemain yang dimiliki jentera tengah JDT.

Namun, kerisauan jurulatih berpengalaman itu reda sambil menjelaskan Figueroa telah 'menyelesaikan' masalahnya dengan menggugurkan Elizari.

"JDT cukup kuat di bahagian tengah dan Messi (Mohd Faiz Nasir) diturunkan kerana dia mampu mengganggu pergerakan pemain lawan.

"Saya terkejut JDT merehatkan pemain nombor lima (Elizari), kalau dia ada, habislah saya," kata Irfan.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen