Susulan pendedahan Nadi Arena mengenai tuntutan tanah anugerah skuad Selangor yang menjuarai Piala Malaysia 1995 daripada kerajaan negeri itu semalam, isu itu kini mendapat perhatian ramai pihak termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Skuad Selangor era itu mendakwa dijanjikan sebidang tanah oleh Kerajaan Selangor susulan menamatkan penantian sembilan tahun kejuaraan itu tetapi selepas 25 tahun, ia masih belum diperoleh mereka.

Susulan itu, Amirudin memberi jaminan pihaknya akan menyiasat mengenai keberadaan tanah itu dan seterusnya menyelesaikan isu tuntutan berkenaan.

"Mereka sebutkan tiada apa-apa dan hanya satu taklimat yang tiada pengisian borang, senarai nama dan sebagainya," katanya kepada Nadi Arena.

"Jadi, saya akan pastikan terlebih dahulu apakah keputusan majlis mesyuarat kerajaan negeri sebelum ini dan kalau ada, tanahnya di mana? Lokalitinya jadi apa? Dan kalau tidak ada, bagaimana kami mahu memberikan maklum balas?

"Walaupun ia bukan bebanan kerajaan negeri sekarang tetapi saya rasa mereka bergantung dan telah menyumbang kepada kejayaan dan kegemilangan negeri ini satu ketika dahulu dan dikenali sampai sekarang.

"Jadi, saya ada rasa simpati dan kami perlu meneliti tentang bantuan yang kami perlu berikan," katanya.