Kepantasan Andik, Gopinathan jadi nadi utama Selangor

Oleh Staff Writer 20 Oktober 2016 4
Kepantasan Andik, Gopinathan jadi nadi utama Selangor
Pemangku jurulatih Selangor, K. Gunalan, mengakui kepantasan dua pemain sayap, Andik Vermansah dan R. Gopinathan, akan menjadi nadi utama Selangor dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dengan Kedah, hujung bulan ini.

Kepantasan Andik mahupun Gopinathan sering mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan kelebihan itu juga menjadi penggerak utama Selangor sehingga muncul selaku finalis Piala Malaysia buat kali kedua berturut turut.

Gunalan tidak menafikan kelibat kedua-dua pemain itu memberikan kelebihan buat Selangor selain turut mengakui keserasian mereka di jentera serangan mampu mencetuskan gerun pihak lawan.

"Mereka mempunyai kelajuan, mereka juga boleh memberikan cabaran kepada pemain lawan. Mereka telah memberikan persembahan yang terbaik, sama ada dalam aksi Piala Malaysia mahupun Liga Super.

"Persembahan Andik, Gopinathan dan juga semua pemain adalah baik. Tetapi dapat dilihat, Andik dan Gopinathan lebih menyerlah sejak kebelakangan ini," ujar Gunalan.

Muncul selaku harapan terbesar skuad Red Giants ketika ini, Gopinathan tidak menyangka keserasiannya bersama Selangor hadir secepat itu.

Kelebihannya ketika ini dianggap sebagai satu anugerah dan ia menyemarakkan lagi semangat Gopinathan untuk menjulang kejuaraan pertamanya bersama Selangor musim ini.

"Saya menyertai Selangor dengan misi mendapatkan piala bersama Selangor, tidak kira apa juga piala yang mampu kami dapatkan.

"Piala Malaysia kini menjadi buruan kami dan saya berharap kami mampu menjulangnya sekali lagi tahun ini," kata Gopinathan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen