Kenangan pahit pemangkin Firdaus selamatkan karier

Oleh Penulis Jemputan 29 Oktober 2018 2846
  Kenangan pahit pemangkin Firdaus selamatkan karier
Pemain sayap Perak, Firdaus Saiyadi, mengakui nasib buruk yang pernah menimpanya telah mendorongnya untuk bangkit sehingga berjaya mengucup Piala Malaysia buat kali pertama dalam kariernya. 

Firdaus sudah hampir mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak selepas digantung ekoran gagal ujian doping.

Tidak beraksi hampir dua tahun, Firdaus membuat kemunculan semula dalam kancah Liga Malaysia tahun ini selepas mendapat galakan daripada ibu-bapanya.

Ternyata, semangat tidak putus asa pemain berusia 22 tahun berkenaan memberinya pulangan lumayan menerusi kejayaan The Bos Gaurus, kelmarin. 

"Ya, saya hampir putus harapan dan tidak bersemangat lagi untuk bermain bola sepak. 

"Sepanjang tiga bulan awal, saya bukan sahaja tidak keluar rumah, malah langsung tidak menyentuh bola.

"Apabila keluarga memberi kata-kata semangat, saya hanya memandang ke hadapan sahaja dan tidak lagi menoleh ke belakang, perkara (hitam) itu sudah berlalu," katanya. 

Firdaus menjadi pencetus kebangkitan Perak apabila menghasilkan gol pertama pada awal babak kedua.

Terus bangkit untuk mengikat kedudukan 3-3, Perak tampil cemerlang dalam penentuan penalti apabila menang 4-1 untuk mengakhiri kemarau 18 tahun menjulang trofi berprestij tersebut. 

"Mentaliti kami kuat walaupun ketinggalan 0-2.

"Jurulatih menyuntik motivasi kepada kami pada masa rehat. 

"Apatah lagi gol yang Terengganu hasilkan bukannya daripada gerakan menarik, ia berpunca daripada kesilapan kami sendiri," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen