Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad, belum puas dengan kemenangan 2-1 ke atas Selangor dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia sambil menjangkakan perlawanan kedua Sabtu ini akan berlangsung penuh dramatik.

Syafiq menegaskan kejayaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu bukan mudah, terutama apabila Selangor pantas menyamakan kedudukan 1-1 sejurus dia meledak gol pembukaan JDT pada minit ke-14.

Pemain kebangsaan berusia 24 tahun itu memberi bayangan jurang perbezaan gol yang kecil di antara kedua-dua pasukan akan menjadikan intensiti perlawanan di Stadium Shah Alam itu nanti di tahap tertinggi.

“Kemenangan tempoh hari memang bukan mudah kerana apabila di peringkat separuh akhir, semua pasukan yang layak sama kuat dan sukar untuk diatasi. Mereka (Selangor) sentiasa memberi tekanan kepada kami di setiap ruang tempoh hari, menyukarkan kami untuk kekal konsisten di atas padang.

"Sebab itu saya rasa persembahan kami masih belum cukup memuaskan tetapi saya tetap nak ucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan yang tidak berputus asa untuk memastikan kemenangan milik pasukan," katanya seperti dipetik dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Kemenangan 2-1 itu bukan satu bekalan selesa buat anak buah Benjamin Mora itu untuk dibawa ke Stadium Shah Alam apabila Selangor sebelum ini bangkit menewaskan juara bertahan, Perak, 3-2 dalam aksi suku akhir, bulan lalu.

Dalam aksi di Larkin itu, Syafiq meletakkan juara edisi 2017 itu di depan tetapi penyerang sensasi skuad Gergasi Merah itu, Ifedayo Olusegun, menyamakan kedudukan tiga minit kemudian sebelum Leandro Velazquez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-49.

JDT mencatat kemenangan dalam semua aksi berdepan Selangor musim ini, termasuk kemenangan 3-2 dan 4-2 dalam dua aksi Liga Super dan rekod itu menjadi motivasi terbaik buat barisan pemain Mora dalam usaha melangkah ke pentas final Piala Malaysia.

-- BERNAMA

Kredit foto: Johor Southern Tigers