Kejuaraan Piala Malaysia bawa makna besar buat Cheng Hoe

Oleh Staff Writer 30 Oktober 2016 4
Kejuaraan Piala Malaysia bawa makna besar buat Cheng Hoe

Ketua jurulatih Lang Merah, Tan Cheng Hoe, mengakui kejayaan meraih trofi Piala Malaysia membawa erti besar terhadap dirinya ekoran berjaya meraih kejuaraan itu selaku pemain dan pengendali Kedah.

Tahun 1990 merupakan kali pertama Kedah muncul juara Piala Malaysia dan ketika itu, Cheng Hoe merasai kejuaraan selaku pemain.

Tiada siapa yang menyangka, 26 tahun selepas itu, Cheng Hoe kini kembali merasai piala berprestij itu sebagai pengendali pasukan tercintanya.

"Kemenangan ini cukup istimewa kerana 1990 pertama kali kami muncul juara (sebagai seorang pemain) dan kali ini sebagai jurulatih saya dianugerahkan kejuaraan sama," katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata kemenangan ini merupakan hadiah terbaik buat Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang kini memasuki penggal terakhirnya selaku Yang di-Pertuan Agong.

"Ini hadiah untuk Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Ini hadiah yang terbaik kerana baginda peminat no.1 bola sepak Kedah.

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan pemain yang telah berikan komitmen 100 peratus di atas padang," tambahnya.

Cheng Hoe jelas menampakkan bayangan dalam perjalanan untuk menjadikan dirinya antara jurulatih tempatan terbaik di Malaysia apatah lagi kini memperoleh lesen kejurulatih Pro Licence yang diperolehinya ketika berada di China pada 19 Disember lalu.

Sementara itu, pengendali sementara Selangor, K. Gunalan menegaskan dia berbangga dengan aksi anak buahnya meskipun kempunan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pasukan itu musim lalu.

"Walaupun kami tewas, saya bangga dengan pemain saya. Mereka telah berikan yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia musim ini," katanya.

"Kami kurang bernasib dalam melunaskan beberapa peluang antaranya Hazwan yang mendapat beberapa peluang baik.

"Sebagai pemain saya tahu mereka akan berasa sedikit gementar ketika penentuan sepakan penalti tetapi seperti yang saya perkatakan, mereka telah berikan yang terbaik."

Gunalan, yang dibawa masuk menggantikan Zainal Abidin Hassan yang dipecat Ogos lalu, berjaya mengubah Selangor menjadi pencabar utama dalam mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia meskipun menempuh laluan berlaku di awal musim.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen