Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, mengakui skuad Lang Merah belum selesa dalam merintis laluan ke final Piala Malaysia selepas sekadar menang tipis 2-1 ke atas PDRM FA dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Darulaman, malam tadi.

Justeru, hasrat Kedah untuk membawa bekalan selesa bagi aksi timbal balik di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 15 Oktober nanti, nyata tidak kesampaian.

Cheng Hoe, yang tiada rungutan dengan keputusan itu, bagaimanapun, berasakan belum ada jaminan buat pasukannya menjejakkan kaki ke pentas akhir.

"Sudah tentu tiada istilah selesa dalam bola sepak.

"Kami perlu mengambil kesempatan ketika bermain di tempat sendiri kerana gol di tempat lawan berpihak kepada PDRM.

"Saya masih menaruh harapan kepada pemain-pemain," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, jurulatih PDRM, Fauzi Pilus tidak menganggap satu gol di tempat lawan yang diraih The Cops menjadi kelebihan sambil berasakan mutu pengadilan perlawanan kurang memuaskan.

"Gol ini satu bekalan tetapi tidak menjamin apa-apa pun kerana kami kalah," katanya disusuli derai ketawanya sendiri.

"Sekurang-kurangnya kami ada modal bekalan.

"Hanya jika dipertingkatkan prestasi pengadil, insya-Allah permainan akan bertambah baik," katanya.