Skuad Kedah dalam semangat tinggi untuk menambah koleksi Piala Malaysia dalam almari kejuaraan menjelang pertemuan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu ini, tatkala ia diibaratkan ulangan final Piala Malaysia 2017.

Barisan pemain Kedah selamat tiba di Kuala Lumpur hari ini dan buat kebanyakan pemain, igauan dua tahun lalu masih segar, menyaksikan mereka tumbang 0-2 di tangan lawan sama hasil jaringan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Gonzalo Cabrera.

Pertemuan dua hari lagi bakal menjadi pentas terbaik untuk Kedah membalas dendam, sekali gus menambah koleksi kejuaraan Piala Malaysia keenam untuk skuad Lang Merah itu.

"Tidak boleh dilupakan bahawa Kedah adalah juara Piala FA. Saya rasa peluang seimbang dan kami akan turun dengan aksi terbaik, 100 peratus. Saya percaya pemain akan bekerja keras untuk mendapatkan keputusan yang baik," kata pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak.

Bagaimanapun, halangan besar menanti Kedah apabila awal-awal lagi mereka hilang khidmat tonggak pertahanan, Renan Alves dan Rizal Ghazali, kerana penggantungan.

Skuad Hijau Kuning itu masih merahsiakan individu yang akan mengisi posisi itu dengan hanya membuat keputusan selepas sesi latihan terakhir esok.

"Kami masih mempunyai masa untuk menentukan siapa bakal beraksi. Apa yang penting, saya mahukan pemain terus fokus walaupun mereka sendiri tidak tahu siapa yang akan diletakkan dalam kesebelasan utama."