Selepas dikecewakan Selangor dalam final Piala Malaysia musim lalu, skuad Kedah kendalian Tan Cheng Hoe kini mendapat peluang kedua selepas mengatasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Melaka, dengan agregat 2-1, sekaligus mara ke final buat kali kedua berturut-turut.

Bertandang ke Melaka, Kedah enggan selesa dengan bekalan 2-1 yang dikutip di Stadium Darulaman.

Kedah mula mengorak langkah dengan melancarkan serangan menerusi pergerakan Liridon Krasniqi, Baddrol Bakhtiar dan Thiago Augusto Fernandez.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi dengan berhati-hati sehinggalah memasuki minit ke-20.

Kedah berpeluang berada di depan menerusi Baddrol Bakhtiar, namun sepakan percumanya berjaya di tepis penjaga gol PDRM.

PDRM mendapat peluang terhidang menerusi percubaan Christopher Kelly, malangnya rembatannya tersasar meskipun berada kurang lima meter dari gawang.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan meskipun melancarkan beberapa asakan.

Keputusan 0-0 kekal hingga tamat perlawanan yang jelas membawa kelegaan buat pengendali Lang Merah, Cheng Hoe, yang mahu melihat anak buahnya beraksi dalam final sekali lagi.

Juara bertahan, Selangor, turut mara selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, untuk menang dengan agregat besar 5-1.

Anak buah K.Gunalan yang turun dengan bekalan 2-1 di Shah Alam, tampil lebih garang di laman lawan.

Tiga gol Red Giants disumbangkan oleh R. Gopinanthan (min-3), Ugo Ukah (min-18) dan Andik Vermansyah (min-90).

Pertemuan kedua-dua pasukan dalam detik kemuncak nanti merupakan ulangan kepada final musim lalu apabila Selangor muncul juara dengan kemenangan 2-0 ke atas Kedah hasil dua gol oleh Hazwan Bakri.

(Kredit imej: Laman Facebook PDRM FA)