Kedah sedia harungi permainan dalam hujan

Oleh Shaiful Shamsudin 29 Oktober 2016 4
 Kedah sedia harungi permainan dalam hujan
Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, mahu dendam kekalahan dalam perlawanan akhir tahun lalu dilunaskan esok tatkala pengendali Selangor, K. Gunalan, bertekad untuk memastikan Piala Malaysia terus kekal di bumi Selangor. 

Kedah membawa misi penting untuk aksi final Piala Malaysia ke-12 mereka esok setelah kecundang 2-0 kepada Red Giants, tahun lalu. 

Hanya kemenangan mampu menjadi penawar duka terbaik. Maka, tidak hairanlah Cheng Hoe mengakui kekalahan itu menjadi motivasi terbesar untuk mereka membawa pulang trofi berprestij itu ke negeri Jelapang Padi itu. 

"Pada tahun lepas, hujan lebat telah menjejaskan permainan kami tetapi itu bukan alasan yang sebenar. 

"Nampaknya cuaca pada hari ini juga hujan, namun pemain-pemain telah bersedia kerana kami tahu keadaan Stadium Shah Alam.

"Saya harap pemain-pemain boleh kekalkan rentak permainan pada malam esok," kata Cheng Hoe. 

Cheng Hoe, bagaimanapun, tidak boleh bercita-cita terlalu tinggi kerana Selangor sememangnya pasukan penuh tradisi dalam pertandingan ini. 

Apatah lagi, Gunalan kini berhasrat untuk mengikut jejak bekas pengendali Selangor, Mehmet Durakovic, untuk menjulang piala sebagai jurulatih buat kali pertama setelah cemerlang berbuat demikian sebagai pemain. 

"Sebagai pemangku jurulatih sejak Ogos lalu, saya rasa telah menjalin kerjasama yang baik dengan pemain-pemain. Mereka juga telah memberi kerjasama kepada saya. 

"Saya harap mereka dapat mempamerkan aksi terbaik untuk mencapai kejayaan," ujar Gunalan yang pernah mendakap trofi itu pada 1997. 

Dalam pada itu, Gunalan  mengesahkan khidmat Ugo Ukah dan Rizal Fahmi Rosid akan dikekalkan untuk mengemudi benteng Selangor, sekaligus menafikan hasrat Shahrom Kalam untuk kembali dalam kesebelasan. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen