Kedah tidak boleh mempersia-siakan setiap peluang yang ada jika mahu menang selesa dalam pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Sabtu depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata pemain juga perlu mengelak sebarang kesilapan bagi membolehkan mereka membawa bekalan selesa ke perlawanan kedua di Kuantan nanti.

“Penting untuk pasukan Kedah tidak berasa selesa dan terlalu yakin hingga akhirnya kami dihukum Tok Gajah di laman sendiri kerana mereka memiliki pertahanan yang kental,” katanya.

Beliau berkata prestasi pasukan Kedah ketika ini amat baik dan menaruh kepercayaan kepada jurulatih, Aidil Sharin Sahak, untuk membuat perancangan secukupnya dan merencanakan taktikal ampuh bagi membenam skuad Tok Gajah nanti.

“Pemain perlu kekalkan momentum sedia ada, kami tidak boleh terlalu yakin dan selesa, sebaliknya lebih bersedia dan memastikan moral sentiasa dalam keadaan baik.

“Dengan perancangan daripada Aidil, kami yakin beliau mempunyai strategi dan percaturan untuk pemain beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan itu nanti dan menghadiahkan kemenangan,” katanya.

Kedah mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan PKNP FC dengan agregat 6-2.

Kedah akan menerima kunjungan Pahang di Stadium Darul Aman, Sabtu depan dan perlu mencari bekalan selesa sebelum berkunjung ke Kuantan, 26 Oktober ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas langkah kerajaan memperuntukkan RM10 juta dalam Belanjawan 2020 untuk pembangunan e-sukan, Mohd Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri berkata ia diharap dapat melahirkan lebih ramai jaguh dalam sukan itu yang mampu bersaing dalam kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.

-- BERNAMA