Penyokong Lang Merah yakin dengan kemampuan skuad kesayangan mereka untuk menterjemahkan kemenangan dalam aksi final Piala Malaysia berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional malam esok.

Sehari sebelum aksi penting Kedah menentang Harimau Selatan di Bukit Jalil, barisan pemain Lang Merah sempat meluangkan masa bertemu peminat mereka di ibu negara.

Rata-rata penyokong sejati Kedah menginginkan pasukan kesayangan mereka membalas kembali kekecewaan tumpas dalam aksi final Piala Malaysia 2017 sambil percaya ramuan yang dimiliki jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin Sahak, mampu mengecewakan juara Liga Super itu.

Selain sesi beramah mesra bersama peminat, skuad Kedah mengharungi jadual padat hari ini, dengan terlibat dengan sesi sidang media rasmi di sebelah petang dan selanjutnya akan meneruskan dengan sesi latihan rasmi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Kami sangat gembira dengan pemain-pemain Kedah yang hadir dalam majlis bertemu peminat kerana mudah bagi penyokong yang berada di Lembah Klang berbanding mereka yang berada di Alor Setar dapat menyaksikan mereka berlatih," kata salah seorang penyokong Kedah dalam sesi itu.