Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, mahu membuktikan misi mengalahkan Johor Darul Ta'zim (JDT) tanpa dua tonggak utama bukan satu kisah dongeng ketika beliau menyifatkan pertemuan menentang juara Liga Super itu dalam aksi final Piala Malaysia 2019 ibarat mimpi menjadi kenyataan.

Aidil Sharin menerima tamparan apabila kehilangan dua tonggak pertahanan, Renan Alves dan Rizal Ghazali, ekoran digantung perlawanan untuk aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Ketiadaan dua pemain itu jelas merencatkan percaturan jurulatih dari Singapura itu untuk membentuk skuad ampuh berdepan skuad Harimau Selatan itu.

Begitupun, Aidil Sharin menegaskan ia bukan misi mustahil walaupun menyedari cabaran kali ini lebih getir berbanding ketika mereka memenangi Piala FA, Julai lalu.

"Saya benar-benar mahu berdepan JDT kerana mereka adalah pasukan utama di Malaysia. Ia merupakan pentas untuk pasukan saya menguji kemampuan," katanya.

Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora, enggan pasukannya dilabel sebagai skuad pilihan apabila menyifatkan perlawanan akhir sebagai satu aksi berbeza.

Bersikap waspada dengan kemampuan Kedah untuk membuat kejutan, Mora menagih kelibat pemain kebangsaan untuk memacu skuad Harimau Selatan itu.

"Pemain-pemain kebangsaan dalam skuad JDT akan memberikan kelebihan kepada pasukan beraksi di Bukit Jalil kerana mereka sudah membiasakan diri dengan permukaan padang serta suasana dalam stadium itu," kata Mora.