Kejayaan menyingkirkan Selangor dalam suku akhir Piala Malaysia terus meningkatkan keyakinan Kedah bahawa mereka mampu mempertahankan gelaran musim ini.

Reputasi selaku juara bertahan secara tidak langsung memberikan tekanan tersendiri buat skuad Lang Merah.

Begitupun, berdasarkan dua pertemuan suku akhir menentang Selangor, tidak mustahil skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff itu mampu meneruskan kemaraan sehingga ke final buat kali ketiga berturut-turut.

Selepas menewaskan Selangor 3-2 dalam perlawanan pertama 15 September lalu, Kedah sekali lagi menumbangkan Gergasi Merah 1-0 (agregat 4-2) dalam aksi timbal balik di Stadium Darulaman, malam tadi.

Meskipun mengambil risiko dengan menurunkan beberapa pemain yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, Nidzam amat menghargai komitmen tinggi yang diberikan mereka.

"Ada segelintar yang menulis, mengatakan Kedah menang secara nasib. Tetapi selepas melihat kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain tempatan dan import, mereka layak untuk membawa Kedah ke separuh akhir," katanya.

Dalam pada itu, pengendali Selangor, P. Maniam, mahu melihat pasukannya segera melupakan kedukaan dalam kempen Piala Malaysia ini bagi menghadapi baki dua perlawanan Liga Super.

Selangor akan berkunjung ke Melaka, Rabu ini, disusuli pertemuan terakhir menentang Pulau Pinang di tempat lawan, bulan depan.

Kegagalan memanfaatkan peluang seharusnya menjadi tumpuan utama Maniam agar kisah sama tidak lagi berulang.

"Kesukaran besar buat pemain fokus untuk satu lagi perlawanan menentang Melaka. Tetapi sebagai pemain profesional, mereka harus bermain. Sudah tentu kami akan membuat sedikit pertukaran.

"Pada masa sama, kami mahukan keputusan yang baik dan memperbaiki keyakinan pemain," katanya.