Kedah berada di landasan terbaik julang Piala Malaysia

Oleh Staff Writer 27 Oktober 2016 2
Kedah berada di landasan terbaik julang Piala Malaysia
Bekas kapten Kedah, Muhamad Radhi Mat Din dan Victor Andrag, menyifatkan skuad Lang Merah berada di landasan terbaik untuk merangkul Piala Malaysia bagi menamatkan penantian lapan tahun kejuaraan berprestij itu.

Kedah akan membuat penampilan ke-12 di pentas final Piala Malaysia, Ahad ini, dengan skuad Lang Merah terlepas peluang untuk melengkapkan gelaran kelima setelah kecundang 0-2 di tangan Selangor dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam tahun lalu.

Sekali lagi berentap dengan Red Giants untuk penentuan kejuaraan tahun ini di stadium yang sama, anak buah Tan Cheng Hoe dilihat lebih bersedia.

"Jika dilihat pada prestasi terkini, Kedah berada di landasan yang tepat untuk menjuarai Piala Malaysia," kata Victor -- menunjangi Kedah meraih gelaran 'double treble' pada 2007 dan 2008 -- selepas menyaksikan pasukan itu tidak kalah dalam 10 perlawanan terakhir musim ini.

"Kombinasi pemain di bahagian pertahanan, tengah dan serangan adalah terbaik."

Keyakinan sama turut dilontarkan Radhi -- kapten Kedah ketika mendakap kejuaraan kedua pada 1993.

Bekas pemain tengah skuad Hijau Kuning era 90-an itu menasihatkan pemain Kedah agar kekal berwaspada untuk pertemuan Ahad nanti.

"Bila bercakap mengenai soal emosi bermain ketika final, pemain tidak boleh terlalu ghairah kerana keghairahan tersebut boleh merencatkan corak permainan ketika final.

"Selain itu, pemain perlu menanamkan keyakinan yang cukup tinggi tetapi jangan terlalu mendabik dada," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen