KEDAH 3 PAHANG 3

Bukan satu, dua tetapi tiga jaringan di tempat lawan diraih Pahang ketika mengikat Kedah 3-3 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.


Perlawanan separuh akhir ini merupakan aksi ulangan separuh akhir Piala Malaysia 2014 -- pada tahun Pahang dinobat sebagai juara, mereka menyingkirkan skuad Lang Merah menerusi kemenangan agregat 6-3.

Separuh masa pertama yang penuh dengan aksi antara kedua-dua pasukan menyaksikan Pahang mendahului dua jaringan menerusi Wan Zaharulnizam Zakaria dan Dickson Nwakaeme sebelum Kedah bangkit menyamakan kedudukan hasil dua percubaan Fernando Rodriguez.

Beraksi di tempat lawan dan permukaan padang yang lembab tidak menjadi halangan Pahang untuk bermula cemerlang, dengan skuad kendalian Dollah Salleh itu segera menyesuaikan diri dengan corak permainan Kedah dan melakukan serangan sejak minit kedua perlawanan -- Mohamadou Sumareh berjaya menanduk hantaran Nor Azam Azih, namun gagal menepati sasaran.

Jaringan pertama terhasil pada minit ke-12 apabila Wan Zaharulnizam bijak mengawal bola sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

13 minit kemudian, pemain import Pahang, Saddil Ramdani, yang beraksi cemerlang di bahagian sayap kiri berjaya menghadiahkan sepakan penalti buat skuad kendalian Dollah Salleh itu apabila dijatuhkan Renan Alves dalam kotak penalti sebelum Dickson Nwakaeme tenang menyumbat masuk gol kedua Pahang.

Ketika corak permainan Kedah serba tidak menjadi, pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak, mengambil keputusan membawa masuk Azamuddin Akil menggantikan David Rowley.

Dan percaturan itu ternyata berhasil apabila gerakannya sukar dibaca pertahanan lawan sebelum berjaya melakukan lorongan untuk Fernando Rodriguez meledak gol pertama buat tuan rumah pada minit ke-32.

Enam minit kemudian, Kedah dihadiahkan sepakan penalti dan Rodriguez tenang menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias, sekali gus menyamakan kedudukan dengan jaringan keenamnya dalam saingan Piala Malaysia.

Corak permainan agresif sejak perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua berhasil buat pelawat pada minit ke-73. Saddil berjaya mencari Nor Azam sebelum pemain skuad kebangsaan itu melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk gol ketiga Pahang.

Ketinggalan 3-2 menyaksikan Kedah kelihatan buntu untuk melancarkan serangan apabila setiap gerakan dipatahkan lawan sementara Pahang mempamerkan dominasi serta tidak berhenti melakukan asakan sehingga penghujung permainan.

Saki-baki empat minit waktu kecederaan digunakan sebaik-baiknya oleh Kedah. Mereka yang memperoleh sepakan percuma berjaya disempurnakan oleh pemain gantian, Zaquan Adha Abdul Radzak, sekali gus membantu Kedah bangkit menyamakan kedudukan buat kali kedua.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 3-3, namun kelebihan memihak Pahang yang membawa bekalan tiga jaringan di tempat lawan sebelum aksi separuh akhir kedua Sabtu depan.

Sementara itu, aksi separuh akhir melibatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor di Larkin menyaksikan tuan rumah meraih kemenangan tipis 2-1 -- Syafiq Ahmad membuka jaringan, Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan sebelum Leandro Velzquez merakam jaringan kemenangan buat skuad kendalian Benjamin Mora itu.