KEDAH 3 PKNS FC 2

Kedah melakar kemenangan menakjubkan dalam saingan Kumpulan A, Piala Malaysia apabila bangkit sebanyak dua kali untuk menewaskan PKNS FC 3-2 di Stadium Darul Aman, Alor Setar sebentar tadi.


Dua gol Jonatan Bauman memastikan Kedah mengikat kedudukan sambil jaringan Alif Yusof dalam masa kecederaan memastikan skuad Lang Merah itu meraih kemenangan kedua daripada empat perlawanan.

Enam layangan kad kuning -- empat buat PKNS FC dan dua buat Kedah -- melambangkan aksi sengit daripada kedua-dua pasukan sepanjang 90 minit perlawanan.

Kedah memegang 64 peratus penguasaan permainan manakala PKNS FC lebih gemar mencorakkan serangan balas pantas.

Strategi itu jelas membuahkan hasil apabila Romel Morales melakukan gerakan solo dari tengah padang sebelum melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim, pada minit ke-30.

Bagaimanapun, Kedah memaparkan aksi lebih kemas sebaik sepak mula babak kedua dengan hanya enam minit diperlukan Bauman untuk mengikat kedudukan.

Terjahan gegabah daripada pemain tengah The Red Ants, Akram Mahinan, mengundang padah apabila Bauman memanfaatkan peluang itu untuk menghasilkan sepakan percuma yang sempat terkena palang gol sebelum menerjah masuk ke gawang Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Seperti perlawanan pertama Jumaat lalu, PKNS FC jelas lawan yang sukar mengaku kalah dan mereka kembali di depan pada minit ke-71 selepas Nicholas Swirad memanfaatkan sepakan penjuru Akram untuk menanduk masuk gol kedua pasukannya.

Bauman sekali lagi memainkan watak penting dalam kisah kebangkitan Kedah kali ini apabila tandukannya memberikan gol penyamaan buat kali kedua pada minit ke-84, susulan hantaran lintang Renan Alves.

Ketika PKNS FC seakan-akan sudah berpuas hati dengan pungutan satu mata, Alif mengeksploitasi situasi kelam-kabut di depan gawang lawan untuk menjaringkan gol kemenangan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu.