Selepas kekalahan 0-5 kepada Perak dalam aksi separuh akhir pertama, 7 Oktober lalu, Sabah menghadapi satu lagi dugaan menjelang aksi kedua di Stadium Likas, Ahad ini, apabila tiga tonggak utamanya mengalami kecederaan.

Tiga pemain itu ialah ketua pasukan, Rawilson Batuil, Mohd Azzizan Nordin serta penyerang import mereka, Hector Omar Ramos.

Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, berkata kecederaan yang dialami tiga pemain itu sedikit-sebanyak menjejaskan pasukan berkenaan dalam melakukan persiapan untuk aksi kedua bertemu The Bos Gaurus nanti.

"Rawilson sebelum ini membatalkan hasrat menyertai skuad kebangsaan kerana kecederaan manakala Azzizan yang ada menyertai kem latihan pasukan negara juga terpaksa digugurkan kerana turut mengalami nasib sama.

"Begitu juga dengan Ramos yang kembali ke negara asal untuk menyertai pasukan kebangsaannya, namun kembali ke sini dengan kecederaan," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan pasukan di Stadium Likas, hari ini.

Jelius berkata walaupun masih ada waktu untuk tiga pemain itu menjalani proses rawatan, namun beliau mengakui satu atau dua daripada mereka kemungkinan tidak sempat pulih sebelum aksi bertemu Perak.

"Bagaimanapun, saya masih ada pilihan pemain lain yang saya yakin mampu mengambil alih tugas pemain yang mengalami kecederaan.

"Memang persiapan kami agak terjejas dengan masalah kecederaan ini, namun kami juga perlu percaya dengan kesemua pemain yang ada," katanya.

Sementara itu, Jelius berkata perlawanan bertemu Perak adalah satu misi paling sukar dihadapi Sabah musim ini.

Bagaimanapun, beliau tetap mahu anak didiknya melakukan yang terbaik kerana apapun boleh berlaku dalam bola sepak.

"Ketika saya masih bermain dulu, kami pernah menang dengan jumlah gol yang banyak di Likas seperti mengalahkan Terengganu 8-2 dan Selangor 5-1, oleh itu misi ini (mengatasi Perak) bukanlah mustahil walaupun kami tahu ia amat sukar," katanya.

Pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu mesti sekurang-kurangnya meledak lima gol dalam aksi Ahad ini selain perlu mengelak daripada dibolosi.