Kapten The Red Giants, Andik Vermansyah bersyukur sambil memuji kebangkitan hebat rakan sepasukannya selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 menentang T-Team dalam saingan aksi pertama Separuh Akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

“Syukur kepada Tuhan kami mampu bertenang selepas dikejutkan dengan gol pertama pasukan lawan hasil sepakan penalti.

“Kami mula beraksi lebih baik, mencipta gerakan dan alhamdulillah kemenangan ini cukup bermakna sebagai balasan kepada kerja keras sepasukan,”katanya.

Andik yang juga pemain tengah kebangsaan Indonesia berharap kemenangan di gelanggang sendiri ini (Stadium Shah Alam) malam tadi amat penting untuk menarik kembali penyokong Merah Kuning turun ke stadium.

“Lega dengan kemenangan ini selepas kami kalah dalam dua perlawanan terakhir di Shah Alam kepada Pahang dan Perak dalam Liga Super.

“Saya harap penyokong setia Merah Kuning terus memberi sokongan padu kerana kita ada satu lagi perlawanan di Kuala Terengganu untuk mara ke final Piala Malaysia musim ini,”katanya.

Dalam aksi sengit malam tadi, T-Team mengejutkan tuan rumah apabila menjaringkan gol pertama melalui sepakan penalti yang diambil penyerang import, Patrick Cruz pada minit ke-22 selepas Safawi Rasid dijatuhkan dalam kotak penalti Red Giants.

Bagaimanapun, penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri menggembirakan penonton tuan rumah apabila menjaringkan gol cantik melalui rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol T-Team pada minit ke-45.
Red Giants meningkatkan kualiti serangan selepas jaringan penyamaan Ahmad Hazwan dalam babak kedua permainan dan gol kemenangan Merah Kuning disumbangkan pertahanan import, Ugochukwu Ukah hasil kekalutan di depan pintu gol T-Team pada minit ke-80.