"Kami akan mengawal bahagian tengah", itu amaran pemain tengah Kedah, Amirul Hisham Awang Kechik, terhadap pasukan Selangor menjelang pertemuan kedua-dua pasukan untuk aksi final Piala Malaysia di Shah Alam, Ahad ini.

Biarpun baru semusim beraksi di kancah Liga Super, pemain muda tersebut tidak meragui sama sekali kemampuan pasukannya untuk memadam kekecewaan musim lalu.

"Semestinya kami nak menang, kami mahu bawa balik piala ke Darul Aman.

"Saya yang sering bergandingan dengan Liridon (Krasnaqi) dan Halim (Shaari), akan mengukuhkan barisan kedah untuk mengawal semua bahagian tengah Kedah.

"Saya ingin tebus kekalahan pada tahun lepas. Walaupun saya tidak bermain dalam perlawanan, tapi jiwa saya dalam Kedah memang kuat," katanya lagi.

Amirul bagaimanapun tidak menganggap kelebihan hanya berpihak kepada skuad Lang Merah. Ini kerana dia menyedari potensi ancaman yang mampu dijelmakan lawan mereka yang turut memiliki pemain berkualiti.

"Selangor antara pasukan yang memiliki bahagian tengah yang baik dengan kehadiran Nazmi Faiz (Mansor). Malah, Saiful Ridzuwan Selamat dan S. Veenood antara pemain yang mendapat panggilan pasukan kebangsaan pada tahun ini.

"Itu bermakna, keupayaan pasukan Selangor juga tidak kurang berbanding dengan pasukan Kedah."