Pemain tengah veteran Kuching FA, Joseph Kalang Tie, mengakui pasukannya akan berdepan cabaran sukar dalam Piala Malaysia bermula Jumaat ini tetapi yakin mereka mampu mengejutkan mana-mana lawan.

Kuching mencipta kejutan apabila menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tempat keempat selepas menumbangkan Kuala Lumpur 2-0 dalam perlawanan terakhir di Stadium Hang Jebat semalam.

Bagaimanapun, mereka diundi untuk bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pusingan pertama Piala Malaysia.

Bagi Joseph, format kalah mati musim ini akan menyukarkan mana-mana pasukan tetapi yakin Kuching mampu melakarkan kejutan dalam perlawanan pembukaan itu.

"Perlawanan kalah mati memang susah. Kalau dalam peringkat kumpulan, jika kalah, kami boleh fokus kepada perlawanan seterusnya tetapi dalam perlawanan kalah mati, satu kesilapan boleh menyingkirkan kami," katanya dalam sidang media.

"Apa yang penting, Kuching FA akan bekerja keras. Bagi saya, kejutan itu sentiasa ada dalam bola sepak.

"Kalau kami bermain sebagai satu pasukan dan bekerja lebih keras daripada pihak lawan, rezeki itu sentiasa ada," katanya.

Meskipun tewas, Kuala Lumpur, yang menamatkan Liga Perdana di tempat ketiga, tetap layak ke Liga Super musim depan memandangkan naib juara, Terengganu FC II merupakan pasukan sokongan dan akan kekal dalam saingan divisyen dua itu.

Tuah terus memihak skuad Warga Kota itu apabila diundi mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama Piala Malaysia, sekali gus layak secara automatik ke suku akhir.

Mengulas mengenai saingan itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, berkata: "Sejarah dalam Piala Malaysia, saya pernah mengecap kejuaraan selaku penolong jurulatih Kedah tetapi sebagai ketua jurulatih masih belum lagi.

"Kami akan mencuba untuk mara sejauh mungkin dan sasarannya juga tidak berapa tinggi, jadi kami perlu mencipta kejutan ke atas lawan yang akan kami jumpa."