Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, menganggap persembahan anak didiknya semalam adalah yang terbaik berbanding aksi sebelum ini.

Bagaimanapun, dia akur peluang pasukannya untuk ke suku akhir Piala Malaysia sudah tertutup berikutan kemenangan Perak ke atas Pahang di Ipoh.

Dalam aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu, Sabah menundukkan Pulau Pinang 2-0 hasil jaringan Maxsius Musa dan Rodoljub Paunovic dalam babak kedua.

"Kami bukan sahaja menang malam ini, malah turut mempamerkan satu permainan yang baik daripada segi penguasaan bola. Apabila kami kehilangan bola, kami merampas balik dan apa yang saya lihat, permainan kami lebih teratur.

"Walaupun kami memulakan permainan dengan hanya menggunakan dua pemain import, kami masih mampu memberikan saingan kepada lawan sehinggalah saya memasukkan Aguinaldo (Mendes Veiga) dalam babak kedua dan kami akhirnya memecah kebuntuan dan memenangi perlawanan," katanya.

Jelius berkata dia memutuskan untuk meletakkan Aguinaldo di bangku pemain simpanan kerana pemain itu mengalami sedikit kecederaan dan telah beberapa hari tidak menyertai sesi latihan.

Bagaimanapun, risiko yang diambil untuk memasukkan pemain import dari Angola itu dalam separuh masa kedua ternyata membuahkan hasil apabila penyerang itu membantu pasukannya menghasilkan gol.